ANGGOTA JPJ membuat pemeriksaan ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan hari ini. FOTO Bernama
ANGGOTA JPJ membuat pemeriksaan ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan hari ini. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Lapan penunggang motosikal pulang tanpa kenderaan selepas disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Malah, 264 lagi dikenakan notis saman kerana gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Semua mereka dikenakan tindakan dalam Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 (HRAA) di Plaza Tol Petaling Jaya, di sini, malam ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Datuk Khairul Khar Yahya berkata antara kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu (122), tiada cukai jalan atau tamat tempoh (95) dan kesalahan membabitkan nombor pendaftaran (27).

"Sebanyak 13 motosikal disita dalam operasi hari ini. Malam ini kita memberikan fokus terhadap penunggang motosikal.

"Ini kerana rekod kemalangan maut bagi pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi berbanding pengguna kenderaan lain (melebihi 60 peratus)," katanya pada sidang media selepas hadir OPS HRAA di sini.

Menurutnya, pada operasi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA 2023) yang lalu, JPJ Selangor mengeluarkan 5,289 notis saman dan sebanyak 2,161 notis saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang mana kategori pengangkutan tertinggi melakukan kesalahan.

Katanya, pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan penyamaran dengan menaiki kenderaan awam seperti bas di terminal bas utama yang dilakukan bermula 7 pagi sehingga 11 malam.

"Sebanyak empat notis dikeluarkan terhadap empat pemandu bas di Muar Johor, Teluk Intan di Perak, Seremban dan Melaka atas kesalahan seperti memandu di lorong kanan secara berterusan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Operasi malam ini turut disertai oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar yang mana seramai lima penunggang motosikal ditahan kerana positif ujian saringan air kencing dan tiga notis dikeluarkan akibat bunyi bising dari kenderaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, objektif OPS HRAA yang dilaksanakan selama empat hari bermula bermula 27 hingga 28 Jun (sebelum) dan 1 hingga 2 Julai (selepas) perayaan Hari Raya Aidiladha ini adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat.

"Ia juga bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam bagi peningkatan keselamatan, kualiti dan keboleharapan perkhidmatan kepada pengguna selain menguatkuasakan pematuhan peraturan dengan memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama yang dianggap punca kemalangan.

"Antara aktiviti penguatkuasaan yang ditetapkan sepanjang OPS HRAA adalah melakukan rondaan lebuh raya dan kawasan kerap kemalangan (termasuk black spot), mengadakan operasi motosikal dan penyamaran bas dan pemeriksaan bas di terminal utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 2:17 AM