ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Guna nombor pendaftaran palsu semata-mata mahu culas bayar ansuran bulanan motosikal.

Itu dilakukan pekerja serbaneka yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekatan jalan raya di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 5, di sini, semalam.

Penunggang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam selepas pemeriksaan mendapati motosikal tidak memaparkan paparan nombor plat hadapan, manakala nombor plat belakang tidak lengkap.

Pemeriksaan lanjut nombor casis oleh anggota JPJ Selangor kemudian membongkar motosikal jenis Yamaha 135LC itu adalah tidak sepadan dengan nombor plat.

Pekerja kedai serbaneka yang enggan dikenali itu berkata, dia menukar nombor plat kerana tidak mahu motosikal ditarik disebabkan memiliki tunggakan melebihi tiga bulan.

"Sebulan saya perlu membayar RM299 dan ada tiga tahun lebih lagi kena bayar.

"Saya tukar nombor plat ini dalam seminggu, takut kedai tarik. Saya tahu risiko buat benda ini, tapi itulah... saya reda," katanya ketika ditemui di sini.

Berikutan itu, motosikal terbabit disita selain penunggang terbabit didapati tiada lesen memandu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 itu diketuai Ketua Seksyen Operasi JPJ Selangor, Muzlefa Kamarudin bermula jam 8 malam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sebanyak 318 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan 1,220 kenderaan.

"Pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, kesalahan teknikal serta cermin gelap.

"JPJ turut menyita 23 kenderaan selain 18 diarah periksa serta 16 notis larangan penggunaan kenderaan," katanya.

Katanya, elemen rondaan dan pemantauan di jalan utama serta lokaso kerap kemalangan akan dipertingkat dalam Op HRAA 2024 ini.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan kepada talian hotline JPJ Negeri Selangor di talian 03-55669442 atau melalui emel [email protected] atau platform aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:12 AM