Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal pada operasi hari raya Aidilfitri. FOTO Ihsan JPJ
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal pada operasi hari raya Aidilfitri. FOTO Ihsan JPJ
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 2,499 notis termasuk 2,204 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi penguatkuasaan sempena Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) di negeri ini.

Dalam operasi selama 10 hari bermula 18 April hingga 27 April lalu, sebanyak 8,342 kenderaan diperiksa dengan 1,337 daripadanya telah diambil tindakan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk insurans merekodkan kes tertinggi.

"Kesalahan paling banyak dikesan dan diambil tindakan ialah tidak mematuhi isyarat lalu lintas (81 kes), tidak memakai topi keledar (43 kes) dan memotong di sebelah kiri (14 kes).

"Sepanjang tempoh operasi itu, empat kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk sebuah kenderaan klon," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarul Iskandar berkata, pihaknya turut sebuah lori kerana gagal mematuhi arahan larangan yang dikuatkuasakan pada 20 dan 21 April serta 24 dan 25 April lalu.

Menurutnya, penyamaran anggota sebagai penumpang bas juga berjaya mengesan satu kesalahan memotong di garisan berkembar oleh pemandu bas ekspres.

"Selain itu, Operasi Khas Motosikal turut diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 4:58 PM