Ahmad Hasbi


Seremban: Langsung tidak hiraukan keselamatan dan nyawa penumpang dibawa. Itu antara sikap segelintir pemandu bas ekspres yang dikesan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak menyediakan pemandu kedua dan memandu di lorong secara berterusan.

Kesalahan serius itu dikesan hasil penyamaran dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Operasi Tahun Baru Cina (TBC) sejak 25 Januari lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pemeriksaan di depoh bas dan penyamaran sebagai penumpang adalah antara tujuh strategi penguatkuasaan sempena cuti sambutan perayaan berkenaan.

"Sebanyak 29 bas yang dinaiki anggota JPJ bagi tujuan penyamaran. Hasilnya sebanyak 13 bas diambil tindakan membabitkan 23 kesalahan.

"Sebanyak tujuh kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu (4 kes), memotong di garisan berkembar (1 kes), tidak mematuhi lampu isyarat, tiada pemandu kedua (2 kes), memandu berterusan melebihi 300 kilometer (3 kes ), merokok dan pemakaian (3 kes) serta letak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan (1 kes)," katanya sejurus mengetuai pemeriksaan bas di Terminal 1, di sini, semalam.

HANIF  (dua dari kanan) melakukan  pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di Terminal 1, semalam. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
HANIF (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di Terminal 1, semalam. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata, pemeriksaan di terminal juga bertujuan memastikan bas berada dalam keadaan baik untuk melakukan perjalanan selain bekerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan tiada pemandu yang bertugas di bawah pengaruh bahan berbahaya itu.

"Kami membuat ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas bagi memastikan keselamatan penumpang. Sepanjang pemeriksaan urin, seorang pemandu bas ditahan dan diserahkan kepada AADK selepas didapati positif dadah," katanya.

Tambah beliau, bagi Operasi TBC sehingga 7 Februari, sebanyak 7,153 kenderaan diperiksa dan 891 daripadanya diambil tindakan membabitkan 2,034 kesalahan.

"Kesalahan membabitkan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan dan insuran adalah kesalahan paling banyka dikesan iaitu sebanyak 1,173," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 8:01 AM