GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Baling: Seorang penternak di Kampung Tok Sin, Kuala Ketil dekat sini mengambil inisiatif menjual lembu pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran bagi membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan ibadah korban tahun ini.

Ahmad Zikri Mohamad Zuki, 32, yang baru menjalankan penternakan lembu kira-kira empat tahun lepas hanya mengenakan harga RM3,500 bagi seekor lembu berbanding harga pasaran antara RM4,300 hingga RM4,500 seekor.

"Niat saya untuk membantu orang yang kurang berkemampuan...dengan keadaan ekonomi semasa, harga barang mahal...bukan semua orang mampu...Alhamdulillah, sambutan amat baik...awalnya tempahan hanya 95 ekor lembu baka Kedah-Kelantan kini mencecah 120 ekor lembu.

"Ada beberapa pembeli berterima kasih kepada saya kerana mereka pada mulanya tidak berhasrat melakukan ibadah korban namun tertarik dengan harga saya tawarkan...mereka kumpul duit bagi membeli seekor lembu untuk korban tahun ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, harga yang ditawarkan itu juga termasuk bagi khidmat penyembelihan, melapah dan memotong daging yang dilaksanakan di kandang ternakannya.

Anak sulung empat beradik itu berkata tahun ini kali pertama dia membuka tempahan lembu untuk ibadah korban sejak menjalankan penternakan dan bersyukur kerana mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Ahmad Zikri yang berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata penternakan lembu mempunyai potensi yang sangat besar untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan dan berhasrat mengembangkan lagi perusahaan ternakannya.

Beliau berkata sewaktu memulakan perusahaan itu dia hanya memiliki sebanyak 19 ekor lembu dan kini bertambah kepada 115 ekor.

Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kos makanan yang tinggi mencecah kira-kira RM30,000 sebulan untuk 100 ekor lembu selain kos tenaga kerja serta ubat-ubatan bagi mengelakkan lembu terkena penyakit.

"Pernah juga saya terima tempahan dalam kuantiti agak besar...saya usaha untuk cukupkan kuantiti yang diminta...hampir 100 ekor namun akhirnya seekor pun tidak diambil oleh bakal pembeli," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan penternakan lembu dan berhasrat menambah baik lagi kandang selain membina sistem pengurusan air kumbahan bersistematik serta rumah sembelihan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 2:59 PM