GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) bersedia untuk membawa rayuan pengusaha trak penunda kenderaan supaya diberi pertimbangan mendapat subsidi diesel bagi mengurangkan beban kos operasi mereka.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata rayuan itu akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

"Sudah tentu tumpuan kementerian adalah terhadap barang perlu dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak," katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) yang mewakili pengusaha trak penunda kenderaan di seluruh negara.

Terdahulu pengasas PKIPN Joseph Prakash menerusi memorandum berkenaan menuntut kerajaan memberi pertimbangan agar diberi subsidi diesel susulan penyasaran subsidi bahan bakar itu.

Katanya, pengusaha trak penunda kenderaan sering kali merentasi jarak yang jauh di seluruh semenanjung Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan penting.

"Harga diesel semasa telah menjadikan semakin sukar bagi mereka untuk mengekalkan operasi mereka.

"Situasi ini diburukkan lagi oleh kesukaran ekonomi yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia, yang mengehadkan kemampuan mereka untuk menanggung kos perkhidmatan tunda yang meningkat," katanya.

Sebelum ini media melaporkan lebih 1,000 pengusaha trak penunda kenderaan menggesa kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan dimasukkan dalam senarai 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) mendakwa sejak penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, kos operasi mereka naik sekali ganda susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:32 PM