Armizan menyampaikan ucapan ketika hadir merasmikan Program Libat Urus Bersama Lebih 150 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Hotel The Grand Renai di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Armizan menyampaikan ucapan ketika hadir merasmikan Program Libat Urus Bersama Lebih 150 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Hotel The Grand Renai di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2.0 yang akan bermula esok, bagi memastikan tidak berlaku aktiviti pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0 yang dilaksanakan untuk memantau kesan kenaikan cukai perkhidmatan pada 1 Mac lalu.

Katanya, pelaksanaan Ops Kesan 2.0 ini adalah untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

"KPDN menerusi Bahagian Penguat Kuasa akan menggerakkan lima pendekatan iaitu proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 2 Mei lalu.

"Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Kita juga menubuhkan pasukan tugas khas membabitkan 15 anggota di peringkat ibu pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu yang timbul daripada pelaksanaan program ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Lebih 150 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, bagi memudahkan orang ramai menyalur aduan kenaikan harga dan perkhidmatan, waktu operasi Pusat Arahan Penguatkuasaan yang ketika ini pada 9 pagi hingga 8 malam, dilanjutkan sehingga 10 malam bermula esok.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam dan jika ada kenaikan, pihak berkenaan termasuk peniaga dan pemilik premis serta mereka yang terbabit akan diberikan notis dan mereka perlu menjawab dalam tempoh enam hari.

"Selain itu, kita juga menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk membuat aduan berkaitan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Antipencatuan 2011 (Akta 723) yang boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala RM100,000 kepada individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 12:59 PM