FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang memperdaya mangsa untuk memuat turun fail Kit Pakej Android (APK) selepas menyerbu dua premis di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan berjaya menahan tujuh individu termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 27 tahun.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan platform jual beli barang atas talian untuk memperdayakan mangsa supaya memuat turun fail APK.

"Fail APK ini membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa memasukkan maklumat perbankan ketika proses memuat turun fail dijalankan.

"Akibatnya, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa disedari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sindiket didapati beroperasi selama tiga bulan dan semua ahli sindiket bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji sebanyak RM4,000.00 sebulan.

"Serbuan merampas lima komputer dan 28 telefon pintar yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:51 PM