Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri (tengah) hadir merasmikan sempena Karnival Agro MADANI @ Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan dan Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Semarak Aidiladha Peringkat Kebangsaan di RTC Tunjung hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri (tengah) hadir merasmikan sempena Karnival Agro MADANI @ Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan dan Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Semarak Aidiladha Peringkat Kebangsaan di RTC Tunjung hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai jualan hampir RM17 juta bagi Program Jualan Khas Semarak Aidiladha yang berlangsung di 685 lokasi di seluruh negara bermula 13 Jun sehingga esok.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, program berkenaan diadakan bagi membantu meringankan beban terutamanya golongan B40 menerusi penjimatan 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Katanya, setakat ini bekalan adalah mencukupi selain harga yang ditawarkan bagi beberapa produk yang terpilih juga lebih rendah berbanding pada tahun lalu.

"Kita menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 dengan bilangan pengunjung seramai 20,000 yang dijangka berkunjung ke RTC Kelantan sepanjang tempoh tiga hari program ini berlangsung.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima daripada pengunjung lebih meriah berbanding sebelum ini dan hampir mencapai sasaran jualan," katanya pada sidang media selepas Karnival Agro Madani @ RTC Kelantan dan Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Semarak Aidiladha Peringkat Kebangsaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata, program Karnival Agro Madani @ Pasar Tani Kekal (PTK) yang diadakan itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan produk agromakanan dengan lebih murah dan segar pada harga mampu milik.

Katanya, melalui karnival ini juga usahawan dapat meluaskan pasaran mereka dan menambah pendapatan, manakala pengunjung pula mendapat potongan harga yang lebih murah.

"Karnival ini dilaksanakan di enam lokasi terpilih pada tahun ini yang dimulakan di di PTK Seberang Jaya, Pulau Pinang, diikuti PTK Chukai, Terengganu, PTK Chini Pekan, Pahang, RTC Kelantan; PTK Datin Halimah, Johor, dan PTK Changlun, Kedah.

"Dengan penganjuran karnival ini, ia dapat membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup menerusi kebolehcapaian dan ketersediaan bekalan produk agromakanan dengan harga yang berpatutan kepada pengguna.

"Di samping itu dapat membantu usahawan bimbingan Fama dalam memasarkan produk agromakanan secara terus di outlet-outlet pemasaran Fama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 12:37 PM