Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Jualan Syawal Madani di 113 outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Di seluruh negara bermula hari ini menawarkan harga jualan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding di luar.

Jualan Syawal Madani itu terdiri daripada Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian menerusi Fama membuka jualan itu bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40.

Beliau berkata, Fama sebagai agensi yang tidak bermotifkan keuntungan bukanlah berhasrat bersaing dengan peniaga lain.

"Untuk Fama, dia tak rugi cukup. Cuma kita bukan nak bersaing dengan pasaran luar, mereka boleh terus berniaga (seperti biasa) setiap hari.

"Kita (Fama) hanya nak membantu golongan yang kurang berada, kebanyakannya B40 dan M40 atau kelas pertengahan atau bawahan. Itulah tujuan kita menyelaraskan pasar seperti ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Tapak Pasar Tani, Seksyen 6, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali dan pemangku Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri.

Mohamad berkata, Fama menyasarkan nilai jualan sebanyak RM13 juta di sepanjang program jualan Syawal Madani pada tahun ini.

"Kementerian memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri.

"Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah kementerian," katanya.

MOHAMAD diiringi Abdul Rashid beramah mesra dengan peniaga di Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Tapak Pasar Tani, Seksyen 6, Kelana Jaya. FOTO Saifullizan Tamadi
MOHAMAD diiringi Abdul Rashid beramah mesra dengan peniaga di Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Tapak Pasar Tani, Seksyen 6, Kelana Jaya. FOTO Saifullizan Tamadi

Mohamad menjelaskan kementeriannya hanya membekal barangan keperluan, manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, semua usahawan di outlet pemasaran Fama hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 yang sudah dikeluarkan oleh pihak KPDN.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan telur tempatan di pasaran juga mencukupi sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

"Kita bincang (mengenai pengimportan telur) dari semasa ke semasa. Jika bekalan tempatan tak cukup kita akan buat keputusan segera pada waktu itu. Apabila keadaan meruncing kita akan import segera pada bila-bila masa.

"Kita sudah buat garis panduan untuk pengimportan jika berlaku kekurangan bekalan telur yang ketara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:30 AM