BERNAMA

Georgetown: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan pelaksanaan Jualan Agro Madani di 5,000 lokasi di seluruh negara membabitkan nilai jualan sebanyak RM39 juta pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya turut menyasarkan penyertaan 46,000 usahawan di seluruh negara.

Katanya ia susulan kejayaan program itu yang mencatat nilai jualan RM17.7 juta setelah diadakan di 643 lokasi hingga 9 Julai lepas membabitkan 10,143 usahawan dan memberi nilai penjimatan RM5.3 juta kepada 1.28 juta isi rumah.

"Pelaksanaan Jualan Agro Madani ini dilihat sebagai antara program quick win KPKM dalam membantu pengeluar memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna dan pada masa sama dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani Tanjung di pekarangan Prangin Mall, di sini.

Ia turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying.

Mohamad berkata, fokus Jualan Agro Madani di seluruh negara pada tahun ini adalah untuk menjamin ketersediaan bekalan agromakanan dan memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bekalan agromakanan pada harga yang berpatutan.

Katanya, melalui jualan itu juga, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran termasuk sayur, buah-buahan, ayam, telur, ikan dan daging.

"Antara fokus lokasi bagi Jualan Agro Madani ini adalah di kompleks atau premis kerajaan, outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar.

"KPKM juga merancang untuk memperluaskan program jualan itu pada tahun depan bagi memberikan lebih penjimatan kepada pengguna, bukan kita bersaing dengan peniaga di luar tetapi nak bantu isi rumah mendapatkan barang keperluan lebih jimat hingga 30 peratus," katanya.

Program Jualan Agro Madani adalah penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dilaksanakan oleh KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 11:50 AM