Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) menyampaikan Happy Hour Bakul Lodeh RM10 kepada pembeli yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Jualan Semarak Syawal FAMA 2022 di Pasar Tani Datin Halimah semalam. FOTO BERNAMA
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) menyampaikan Happy Hour Bakul Lodeh RM10 kepada pembeli yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Jualan Semarak Syawal FAMA 2022 di Pasar Tani Datin Halimah semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menjangkakan Program Jualan Semarak Syawal 2022 bakal mencatatkan hasil jualan sehingga RM28 juta hingga akhir Ramadan ini, melepasi sasaran awal sebanyak RM25 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ini kerana program yang dilancarkan di 797 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh negara sejak 24 April lepas itu mendapat sambutan menggalakkan terutamanya di Johor.

"Setakat semalam, kita sudah mencapai jualan sebanyak RM10 juta, jadi jualan mungkin akan mencecah hingga RM28 juta pada akhir Ramadan ini dan di Johor misalnya, pembukaan sempadan antarabangsa memberi impak istimewa seperti di Pasar Tani Jalan Datin Halimah ini, dijangka sekitar 40 peratus daripada 8,500 pengunjung yang hadir adalah warga Singapura.

"Ini sekali gus meningkatkan peluang buat pengusaha pertanian yang terbabit memasarkan produk mereka bukan sahaja kepada pelanggan tempatan, tetapi juga pelanggan luar negara," katanya selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Semarak Syawal 2022 peringkat negeri Johor di pasar tani berkenaan di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Fama Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri mencukupi di kesemua 797 outlet Fama di seluruh negara.

"Kesemua pengusaha yang terbabit sudah memberikan jaminan bahawa bekalan pelbagai barangan mencukupi untuk pengunjung membuat persiapan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri ini. Pasar tani anjuran Fama ini memberi tumpuan kepada ketersediaan bekalan dan juga harga yang berpatutan," katanya.

Sejumlah 15,391 usahawan dijangka mendapat manfaat melalui Program Jualan Semarak Syawal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 3:22 PM