FAHMI pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
FAHMI pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Aktiviti berkaitan penyeludupan diesel semakin berkurangan sejak pelarasan subsidi bahan bakar itu dilaksanakan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia berdasarkan dapatan yang diperoleh di lapangan dan di sempadan negara.

"Daripada pengamatan pasukan di lapangan menunjukkan beberapa aktiviti yang dipercayai berkait dengan penyeludupan semakin berkurangan terutama di kawasan sempadan di Semenanjung Malaysia.

"Dapatan waktu ini juga menunjukkan di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang (Kelantan) dan di Wang Kelian (Perlis), aktiviti terutama membeli diesel berkurangan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini memberi peringatan kepada sektor yang tidak menerima subsidi diesel atau tidak layak menerima subsidi terbabit supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

Katanya, kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Kita meneliti kenyataan Menteri KPDN semalam mengenai sektor pembinaan yang rata-rata termasuk netizen memuat naik gambar surat atau pemakluman, di mana mereka maklumkan beberapa produk atau perkhidmatan disediakan akan mengalami kenaikan kos atas dasar tidak lagi menerima subsidi diesel.

"Tapi apabila disemak, mereka memang sebelum ini tidak layak menerima subsidi diesel. Jadi semua perkara berbangkit ini, kita serahkan kepada KPDN untuk ambil tindakan tegas," katanya.

Mengenai isu sejumlah pengusaha van dan bas pelancong yang meminta supaya mereka turut diberikan subsidi diesel, Fahmi berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) diminta supaya menyantuni serta membantu kumpulan berkenaan.

"Bantuan itu mungkin tidak secara kekal, mungkin untuk tempoh tertentu, namun perkara lanjut serta mekanisme akan diumumkan oleh Motac," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Perdana Menteri meminta supaya isu berkaitan kad 'fleet' diteliti, termasuk menyegerakan edaran kad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 4:56 PM