Pemandu e-hailing hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan, hari ini.
Pemandu e-hailing hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes pemandu e-hailing orang kelainan upaya (OKU) yang mendakwa dipukul seorang juruiring kepada kenamaan di sebuah hotel, 28 Mei lalu.

Semua individu itu adalah juruiring terbabit serta pekerja hotel di lokasi kejadian berlaku, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota juruiring kepada kenamaan, rakan pengadu, doktor dan pengarah operasi Grab.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan dijalankan, pihaknya sudah menghantar kertas pendakwaan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

"Walaupun pengadu (mangsa) dalam kes ini sudah menarik laporan polis namun hasil sambungan rakaman percakapan yang dijalankan mendapati pengadu masih berminat dan ingin meneruskan kes ini.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan pada jam 8.30 pagi semalam untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan tatatertib.

Jumaat lalu, beliau dilaporkan berkata, PDRM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini dan memanggil semua pegawai terbabit dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan pemandu kenderaan e-hailing terbabit mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel di ibu negara sebelum menarik balik laporan polis dibuatnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, individu berkenaan yang juga OKU membuat laporan polis keduanya, 28 Mei lalu, untuk menarik balik laporan pertamanya yang dibuat pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 4:04 PM