MOHD Iqbal Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
MOHD Iqbal Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Shah Alam: Pemandu e-hailing yang dikatakan terbabit kejadian seorang wanita terjun dari kereta di Glenmarie di sini, dikenal pasti adalah orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan berlaku salah faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan polis mendapati pemandu lelaki berusia 26 tahun itu berdaftar dengan syarikat e-hailing secara sah.

Menurutnya, semakan juga mendapati lelaki yang memandu Perodua Axia itu bekerja sebagai pemandu e-hailing bermula 26 September lalu dan pengadu adalah pelanggan ketiganya pada hari kejadian.

"Pemandu itu juga menjelaskan tersalah jalan disebabkan masih baru dan cuba membuat pusingan U di Jalan Temasya, Glenmarie, pada masa yang sama pengadu membuka pintu kereta lalu keluar dari kenderaannya.

"Dia kemudiannya meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berdasarkan laporan pengadu iaitu wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pramusaji membuat tempahan e-hailing pada 9.30 pagi, 27 September lalu di LRT Glenmarie untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, ketika semasa kejadian pengadu duduk di bahagian penumpang belakang dan bertanya kepada suspek untuk membuat pembayaran secara tunai tetapi tidak dijawab serta pengadu menyedari suspek sering melihatnya melalui cermin pandang belakang.

"Bimbang keselamatannya, pengadu bertindak turun dari kereta semasa kenderaan bergerak perlahan. Pengadu tidak alami kecederaan," katanya.

Hasil siasatan yang dilakukan, katanya, kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana berlaku salah faham.

Tambahnya, pengadu juga menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini selepas mengetahui keadaan sebenar.

Semalam dilaporkan, seorang wanita berdepan detik cemas selepas mendakwa 'dilarikan' pemandu e-hailing.

Pengusaha katering, Ayuni Dean, 44, mendakwa kejadian itu berlaku pada Rabu lalu ketika pekerjanya dalam perjalanan ke tempat acara di Glenmarie, di sini.

Pekerjanya yang dipanggil Neera menghubunginya meminta bantuan selepas terjun dari kereta berkenaan dan berlari menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 10:43 AM