Pemandu e-hailing hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan, hari ini.
Pemandu e-hailing hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal peribadi rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel dipanggil untuk dirakam keterangan, hari ini.

Individu terbabit dilihat tiba di pekarangan pintu hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 10.45 pagi.

Turut kelihatan peguam Lawyer For Liberty terdiri daripada N Surendran dan Latheefa Koya hadir mewakili mangsa.

Rabu lalu media melaporkan, pemandu kenderaan e-hailing terbabit mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa sebelum ini berkata, individu berkenaan, yang juga OKU telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Rusdi dalam kenyataan yang sama berkata, polis Kuala Lumpur menerima laporan polis, pada 28 Mei lalu pada jam 1 petang oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu e-hailing.

Susulan itu pada Jumaat, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian itu dan mahu tindakan undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 12:53 PM