Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui media ketika hadir dalam lawatan di Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui media ketika hadir dalam lawatan di Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya siasatan insiden pengiring orang kenamaan yang didakwa memukul pemandu e-hailing di Kuala Lumpur, baru-baru ini kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini kerana pihaknya tidak mahu mencampuri siasatan yang dijalankan pihak polis mengenai kes terbabit.

"Kena tanya IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain). Saya (Menteri KDN) tak campur," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, Saifuddin ditemui pemberita ketika membuat lawatan bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tan Sri Razarudin dilaporkan berkata, pihak PDRM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan akan memanggil pegawai- pegawai yang terbabit dalam kes untuk membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 5:14 PM