Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada sidang media selepas melancarkan simbolik pelancaran skim tajaan caruman Skim Keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan pertukaran Mou antara Kasuma Perkeso bersama Grab Malaysia di Royal Chulan Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada sidang media selepas melancarkan simbolik pelancaran skim tajaan caruman Skim Keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan pertukaran Mou antara Kasuma Perkeso bersama Grab Malaysia di Royal Chulan Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Grab Malaysia sudah memohon pampasan insuran untuk pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal pengiring kenamaan (VVIP), minggu lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, permohonan berkenaan difailkan ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

"Permohonan berkenaan baru sahaja dihantar ke Perkeso, pagi tadi.

"Biasanya, permohonan macam ini tidak mengambil masa lama (untuk diproses) dan Perkeso akan proses dalam beberapa hari lagi," katanya ketika ditemui media, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kesuma dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Grab Malaysia.

Steven mengulas kejadian menimpa pemandu e-hailing pekak dan bisu berusia 46 tahun yang mendakwa dipukul pengiring VVIP di sebuah hotel, di sini, pada 28 Mei lalu.

Steven berkata, sekiranya permohonan diluluskan, individu berkenaan akan menerima manfaat Perkeso mengikut kelayakan.

"Kita akan melihat kepada perlindungan manfaat yang berhak. Saya kena check dengan Perkeso untuk melihat adakah ini perkara dilindungi di bawah insuran Perkeso," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 4:31 PM