NAIB Canselor, Prof Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman. FOTO ihsan UKM
NAIB Canselor, Prof Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman. FOTO ihsan UKM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya melonjak kedudukan ke-138 dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2025, yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu meletakkan UKM kini berada di kedudukan kedua terbaik antara universiti awam dan universiti swasta di Malaysia.

Naib Canselor, Prof Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kejayaan UKM yang melonjak sebanyak 21 anak tangga dari kedudukan ke-159 dalam QS WUR 2024 menunjukkan komitmen yang kukuh universiti itu dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, pengajaran, kelestarian, pengantarabangsaan dan kebolehpasaran graduan.

"Kejayaan ini diperoleh melalui peningkatan perolehan geran antarabangsa, industri serta fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan alumni yang menjadi menyumbang kepada kecemerlangan pembangunan universiti ini, seterusnya meningkatkan kedudukan UKM di persada antarabangsa.

"Ini juga mencerminkan usaha berterusan UKM dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global," katanya.

Beliau berkata, peningkatan itu juga adalah pencapaian yang membanggakan dan memberi dorongan kepada universiti watan itu untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

"Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak untuk pencapaian lebih besar pada masa akan datang.

"Pencapaian yang luar biasa ini sudah pasti menjadikan UKM sebagai institusi yang lebih menonjol, terkenal di peringkat global dan mudah diakses oleh pelajar antarabangsa, di samping memupuk kerjasama yang lebih kukuh dengan rakan kongsi industri dan memacu inisiatif penyelidikan dan inovasi ke hadapan.

"Melalui usaha bersepadu dalam pengantarabangsaan dan inisiatif global, UKM mencapai kemajuan yang besar dalam meluaskan pandangan antarabangsa dengan pembukaan kampus pesisir di Qatar dan Indonesia," katanya.

Menurutnya, kejayaan itu juga adalah perjalanan kecemerlangan UKM ke arah pengantarabangsaan dalam memfokuskan jalinan kerjasama dengan institusi di seluruh dunia.

"Walaupun kami komited untuk terus meningkat dalam pengiktirafan antarabangsa, tetapi fokus UKM tetap kepada aspek penyelidikan translasi, transformasi sosial dan peningkatan kualiti masyarakat," katanya.

Menurutnya, penarafan bukan agenda utama universiti, tetapi kedudukan itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas buat UKM terus mengorak langkah ke hadapan dalam meneroka dan memperbaharui semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan dan kelestarian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 3:51 PM