GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Redzuan Muharam


Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kedudukan 587 daripada 1,503 institusi dalam senarai QS World University Rankings (WUR) 2025 yang meletakkannya berada dalam kelompok 39 peratus universiti terbaik di dunia.

Bagi indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa, skor UiTM meningkat daripada 24.3 kepada 68.6 tahun ini dan ia adalah yang tertinggi dicapai oleh UiTM antara kesemua indikator QS WUR 2025.

Di peringkat global, rangkaian penyelidikan antarabangsa UiTM di kedudukan 503 seluruh dunia yang menandakan peningkatan ketara UiTM dalam penyelidikan akademik.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, sejak pelaksanaan agenda UiTM 2025 pada 2021, UiTM sudah membuat penambahbaikan dalam meningkatkan reputasi akademik universiti.

Beliau berkata, pencapaian itu dicerminkan untuk lima berturut-turut dalam QS WUR 2025.

"Pada tahun ini, UiTM memulakan langkah dalam membangunkan Pelan Strategik UiTM 2030. Kami menjangkakan usaha ini akan terus diiktiraf secara positif di peringkat antarabangsa:

"Di samping itu, kami meneruskan visi UiTM dengan menekankan penghayatan nilai dan memenuhi misi untuk melahirkan graduan Bumiputera profesional yang berdaya saing dan berkualiti tinggi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

QS WUR diukur melalui sembilan indikator, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, rangkaian penyelidikan antarabangsa, nisbah penuntut-fakulti, kemampanan, sitasi setiap fakulti, hasil pekerjaan, serta penuntut dan fakulti antarabangsa.

Untuk lima tahun berturut-turut, UiTM menambah baik kedudukan bagi indikator reputasi akademik yang menjadi indikator terkuat universiti apabila naik 15 anak tangga dengan mencapai kedudukan 288 berbanding 303 tahun lalu.

UiTM juga mencapai kedudukan 234 bagi indikator reputasi majikan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 10:33 AM