UPSI sekali lagi mencipta sejarah pada tahun ini apabila diumumkan menduduki tangga ke-43 QS Asia University Ranking 2023: South Eastern Asia.
UPSI sekali lagi mencipta sejarah pada tahun ini apabila diumumkan menduduki tangga ke-43 QS Asia University Ranking 2023: South Eastern Asia.
Suliati Asri

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta sejarah pada tahun ini apabila diumumkan menduduki tangga ke-43 QS Asia University Ranking 2023: South Eastern Asia.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan itu adalah satu pencapaian dalam penarafan antarabangsa di peringkat Asia Tenggara.

Menurutnya, UPSI menyertai QS Asia University Ranking 2023: South Eastern Asia buat pertama kali untuk 2023 dan buat julung kalinya berada di tangga ke-43 .

"Sebanyak 11 indikator utama diambil kira bagi menilai kedudukan ini iaitu dari aspek reputasi akademik, reputasi pekerja, nisbah pelajar dan pensyarah, staf fakulti dengan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD), kertas penyelidikan per fakulti, sitasi per kertas penyelidikan, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pensyarah antarabangsa, pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar antarabangsa.

"Oleh itu, pencapaian ini membuktikan bahawa UPSI komited dalam memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan dan guru yang dihasilkan di Malaysia," katanya.

Md Amin berkata, UPSI ketika ini juga berada di kedudukan ke-182 di peringkat Asia dan 801-1000 dalam penarafan QS World University Ranking.

"Oleh itu, UPSI akan terus komited dalam menghasilkan graduan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat dan keperluan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategik UPSI Prof Madya Dr Azmi Mohamed berterima kasih kepada semua kakitangan akademik dan bukan akademik yang memberi kerjasama baik serta komited terhadap usaha melonjakkan nama UPSI menerusi QS World University Ranking itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 3:42 PM