Gambar hiasan
Gambar hiasan
Azzman Abdul Jamal


CARUMAN Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kalangan pemandu e-hailing, teksi dan bas masih rendah dan jauh daripada sasaran ditetapkan.

Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, hanya sekitar 20 peratus daripada mereka itu yang mendaftar untuk caruman PERKESO setakat ini.

“Seramai 60,000 daripada 300,000 orang pemandu e-hailing, teksi dan bas di seluruh Malaysia sudah mendaftar.

“Data itu menunjukkan caruman PERKESO golongan terbabit masih jauh dari sasaran.

“Jumlah (300,000) ini mungkin termasuk mereka yang bekerja sambilan. Namun begitu, golongan ini juga perlu mendaftar kerana terdedah kepada risiko dan tidak akan ditanggung dengan yang dicarumkan oleh majikan (sekiranya mempunyai pekerjaan lain).

“Seperti contoh, sebelum ini terdapat beberapa kes membabitkan kematian pemandu e-hailing dan malangnya mereka tidak mencarum, jadi kita tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program PERKESO Bersama Pimpinan Masyarakat Peringkat PERKESO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dr Mohammed Azman berkata, pihaknya bercadang mengadakan operasi besar-besaran untuk mengesan pemandu e-hailing, teksi dan bas yang masih tidak mendaftar sebagai pencarum PERKESO.

“Tiada tarikh tamat untuk pendaftaran sebagai pencarum PERKESO kerana kita sudah kuatkuasakan sejak dua tahun lalu.

“Tempoh itu sudah cukup lama dan mereka sepatutnya sudah mendaftar,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata, ia bertujuan untuk menguar-uarkan lagi peranan PERKESO kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial.

“Sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu, lebih RM22.3 juta dibayar sebagai faedah di bawah Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan, manakala 669 permohonan diluluskan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) membabitkan bantuan kewangan berjumlah RM1.6 juta.

“Kita juga memperhebatkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi memastikan pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas untuk terus berdaftar dan mencarum dengan PERKESO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:11 PM