Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga kanan) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Yayasan Terengganu dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). FOTO GHAZALI KORI
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga kanan) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Yayasan Terengganu dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu berhasrat membuka laluan pengajian dalam negara sebagai alternatif bagi membolehkan lebih ramai anak Terengganu berpeluang mengikuti program Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi menangani kos pengajian yang semakin meningkat saban tahun disebabkan pengaruh faktor global seperti keadaan ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik.

Menurutnya, SPC yang diperkenalkan kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) bermula 2019 memberi manfaat kepada 1,047 pelajar cemerlang meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama sama ada dalam mahu pun luar negara dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM25.2 juta.

"Daripada jumlah itu, seramai 942 orang mengikuti pengajian di universiti dalam negara dan 105 pelajar lagi mengikuti pengajian luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains dan teknologi, perakaunan termasuk perbankan Islam dan "Seramai 50 pelajar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian memperoleh tajaan (sehingga bergraduat) hampir RM780,000 seorang dengan tempoh pengajian selama enam tahun di luar negara yang dianggarkan menelan belanja berjumlah RM32 juta," katanya.

Ahmad Samsuri berkata sejak diperkenalkan, YT memberi banyak tumpuan bagi menghantar pelajar terbaik negeri dalam bidang perubatan dan pergigian ke negara Timur Tengah seperti Jordan dan Mesir.

"Sambutan terhadap SPC sangat menggalakkan namun pengaruh faktor global seperti ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik menyebabkan kos pengajian meningkat.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui YT memilih Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) iaitu satu-satunya universiti swasta milik penuh kerajaan negeri Kedah yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dengan kadar yuran pengajian yang paling rendah berbanding institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang lain.

"Saya difahamkan bahawa seramai 13 pelajar sudah pun memulakan pengajian perubatan di UniSHAMS dan mereka berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan yang berlangsung baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara YT dan UniSHAMS di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu, Datuk Satipul Bahri Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 5:52 PM