AZFAR Irfan Danish Azrul Fahmee, 18.
AZFAR Irfan Danish Azrul Fahmee, 18.
Mohd Amin Jalil


"Walaupun cacat penglihatan namun saya bercita-cita menjadi doktor pakar dalam bidang neurologi. Saya mahu merawat ramai pesakit buah pinggang di negara ini," ujar pelajar buta mata kanan, Azfar Irfan Danish Azrul Fahmee, 18.

Dia adalah antara 1,487 pelajar yang ditawarkan mengikuti program Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, bermula tadi.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulil Albab Kepala Batas Pulau Pinang itu akan mengikuti kursus dalam Program Perubatan, Pergigian dan Sains bagi sesi pengajian 2020/2021.

Katanya, walaupun berstatus OKU, namun dia yakin akan dapat mengikuti pengajian itu dengan baik dan berjaya dalam memenuhi cita-cita bergelar doktor pakar.

"Saya amat bersyukur kerana pilihan pertama untuk mengikuti kursus dalam bidang perubatan di USIM berjaya.

"Walaupun hanya nampak sebelah mata, namun saya yakin boleh menghadapi pelajaran dengan baik dan saya perlu cekal serta sabar kerana semuanya adalah cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapai kejayaan di masa depan.

"Saya berharap kehadiran saya di sini, menjadi titik tolak kepada impian untuk bergelar doktor pakar dalam bidang neurologi pertama dari kalangan OKU di negara ini," katanya.

Azfar Irfan Danish yang juga anak sulung daripada tiga beradik ditemui sebaik selesai sesi pendaftaran pelajar baharu di Kolej Kediaman USIM di Nilai Impian.

Sementara itu, tiga pasangan pelajar kembar turut gembira kerana diterima melanjutkan pelajaran di USIM, malah mereka juga akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyekat penularan wabak pandemik Covid-19.

Tiga pasangan pelajar itu ialah Hajar Kamal Azam dan Aishah Kamal Azam, 19, dari Bangi Selangor diikuti Nurnadhira Sofia Abdul Rahman dan Nurnadia Illya Abdul Rahman, 18, dari Gurun Kedah.

Muhammad Farhan Mohd Satar dan Muhammad Fauzan Mohd Satar, 18, dari Kota Bharu Kelantan.

Nurnadhira Sofia berkata, walaupun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam norma baharu, namun dia dan kembarnya tidak menghadapi masalah mematuhinya.

"Ini untuk keselamatan semua pelajar dan kami patuh dengan setiap arahan yang diberikan oleh pihak USIM dalam norma baharu ini," katanya yang mengikuti kursus dalam bidang perubatan, pergigian dan sains.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:42 PM