Surat yang ditukarkan dakwaan penuntut dipaksa menghadiri program Townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO BAHAROM BAKAR.
Surat yang ditukarkan dakwaan penuntut dipaksa menghadiri program Townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO BAHAROM BAKAR.
Ahmad Samsuri (lima kiri barisan tengah) bersama sebahagian penuntut UM selepas program Townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO BAHAROM BAKAR
Ahmad Samsuri (lima kiri barisan tengah) bersama sebahagian penuntut UM selepas program Townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO BAHAROM BAKAR
Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Yayasan Terengganu (YT) menafikan mengeluarkan ugutan termasuk menyekat bantuan sara hidup kepada penuntut yang gagal menyertai program townhall mahasiswa anak Terengganu di Bangi, Selangor, Ahad lalu.

Pengarah YT Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham mengakui ada mengeluarkan surat jemputan kepada penuntut beberapa Universiti Awam (UA) untuk menghadiri program itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada paksaan terutama mewajibkan penuntut yang menerima bantuan atau yuran daripada YT dikeluarkan.

"Kita hanya mengeluarkan surat jemputan kepada penuntut di beberapa UA di sekitar Lembah Klang menghadiri program yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang diadakan di Bangi Convention Centre, Ahad lalu.

"Tetapi kita menegaskan tidak mengeluarkan surat paksaan termasuk berbaur ugutan untuk menyekat elaun sara hidup atas kegagalan penuntut menghadiri program itu," katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Azmi berkata demikian ketika mengulas dakwaan surat ditularkan melalui laman sosial Facebook (FB) memaksa semua penuntut yang menerima Skim Pelajar Cemerlang (SPC) diwajibkan menyertai program Townhall Mahasiswa Perantau bertajuk 'MB Nok Jumpa', Ahad lalu.

Berdasarkan surat ditularkan, ia memaklumkan semua penerima biasiswa SPC YT yang menuntut di universiti di sekitar Lembah Klang diwajibkan menyertai program itu.

Turut dimuatnaik adalah kegagalan untuk hadir tanpa sebab yang munasabah membolehkan tindakan diambil, termasuk sekatan bayaran elaun sara hidup SPC.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi yang terkilan dan kecewa dengan dakwaan itu menjelaskan, semua bantuan di bawah SPC sudah dikreditkan ke akaun penerima sehingga Ogos depan.

Katanya, program townhall membabitkan penuntut UM kerap dianjur dan diadakan kerajaan negeri melalui YT.

"Program yang diadakan Ahad lalu sudah dirangka sejak Mei lalu dan tiada kaitan dengan pembubaran Dewan Undangan negeri (Dun) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

"Pada program selama lima jam bermula jam 8 pagi itu, tiada ucapan berbentuk kempen, sebaliknya diisi dengan majlis dialog antara penuntut dan Ahmad Samsuri," katanya.

Mohd Azmi berkata, program perjumpaan dengan semua penuntut bersama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) YT turut diadakan dengan beberapa universiti lain.

Sementara itu, Ahmad Samsuri melalui FB miliknya berkata, kerajaan boleh memberi sokongan dan bantuan, tetapi segalanya tetap akan bermula dengan diri sendiri.

"Jadilah manusia yang memberi erti kepada agama, bangsa dan negara, kerana kalian bakal memimpin negara dan generasi untuk mencorakkan sesebuah negara suatu hari nanti," katanya.

gambar:

1. KUALA TERENGGANU, 11 JULAI 2023, Ahmad Samsuri (lima kiri barisan tengah) bersama sebahagian penuntut UM selepas program townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO/BAHAROM BAKAR.

2. KUALA TERENGGANU, 11 JULAI 2023, Surat yang ditularkan mendakwa penuntut dipaksa menghadiri program townhall yang diadakan Ahad lalu. FOTO/BAHAROM BAKAR.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 2:38 PM