AHMAD Samsuri (berdiri tengah) bergambar bersama Wan Nur Fazliyatul Adawiyah (tengah),  Wan Muhammad Amirul Sofian (kiri) dan Mohd Syarif (kanan). FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (berdiri tengah) bergambar bersama Wan Nur Fazliyatul Adawiyah (tengah), Wan Muhammad Amirul Sofian (kiri) dan Mohd Syarif (kanan). FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Saya bersyukur kerana menjadi antara penerima biasiswa ini dan berjanji akan membuat yang terbaik untuk membalas jasa semua pihak yang memberi sokongan, termasuk kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu," kata Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah Wan Muhamed Fakry, 19.

Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah yang juga pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah antara penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu yang diraikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa SPC Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di sini hari ini.

Turut menerima biasiswa sama adalah Muhammad Syarif Salzali, 19, dan Wan Muhammad Amirul Sofian W Ruhazlan, 19.

Menurut Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah, biasiswa yang diterimanya itu sangat membantunya untuk menghabiskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan elektrik di Jepun nanti.

"Dengan bantuan ini, saya boleh fokus pada pengajian tanpa memikirkan kos dan dapat meringankan beban keluarga selain boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada tiga adik saya.

"Memang menjadi impian saya untuk belajar di luar negara dan Alhamdulillah, percubaan saya mendapatkan biasiswa daripada Yayasan Terengganu membuahkan hasil, terima kasih kepada kerajaan dengan peluang yang diberikan, " kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, sebanyak RM1.78 juta diperuntukkan kepada tiga anak Terengganu bagi tempoh pengajian antara tiga hingga empat tahun di Jepun.

"Mereka sudah mengikuti Program Persediaan Jepun di Kolej Intec Shah Alam dan dijadualkan berangkat ke Jepun pada 18 Mei ini," katanya.

Bermula 2019, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menubuhkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Negeri Terengganu dengan peruntukan RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:25 PM