MUHAMMAD Haikal Iskandar menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir. Gambar tular
MUHAMMAD Haikal Iskandar menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir. Gambar tular
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: "Saya masuk 20 minit lewat ke dalam dewan peperiksaan selepas 'bertemu' arwah ayah, fikiran saya agak terganggu tetapi saya cuba memberi tumpuan untuk menjawab kertas Sejarah," kata Muhammad Haikal Iskandar Zambry, 18.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru berkata, sejak ayahnya dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat kegagalan fungsi buah pinggang, mereka sekeluarga tidak berpeluang melawat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19.

"Hati saya resah... Sudahlah langsung tidak dapat menjenguk ayah sejak seminggu lalu, jadual peperiksaan juga tidak mengizinkan saya untuk menghadiri pengebumian arwah ayah.

"Namun, permintaan emak supaya membawa jenazah ayah 'singgah' di sekolah sedikit melegakan hati, walaupun sedih ayah sudah tiada sekurang-kurangnya dapat melihatnya buat kali terakhir," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.

Semalam, tular di media sosial yang memaparkan Muhammad Haikal diberi kesempatan menatap wajah ayahnya yang sudah tidak bernyawa buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Video detik itu sempat dirakam guru bimbingan dan kaunseling sekolah Badariah Mohd Mohaidin.

Muhammad Haikal Iskandar berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ayahnya Khamis minggu lalu sebelum dia ke kelas tambahan.

Menurutnya, arwah bapanya sudah lama menghidap kegagalan fungsi buah pinggang, namun baru-baru ini penyakitnya semakin teruk hingga mengakibatkan kerosakan hati selain jangkitan kuman dalam darah yang menjadi penyebab kematiannya.

"Ketika pulang dari kelas tambahan, saya diberitahu ayah dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping, Jumaat lalu.

"Sebelum dimasukkan ke wad, ayah berpesan supaya menjaga emak dan adik-adik.

"Bermakna sejak seminggu lalu jugalah saya tidak berpeluang bertemu, menatap, apatah lagi bercakap dengan ayah, sehingga dimaklumkan ayah sudah tiada petang kelmarin (Selasa)," katanya.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata,

dia berterima kasih kepada yang cuba menenangkan dan mengizinkannya menatap wajah ayahnya buat kali terakhir dalam pada rakan-rakannya yang lain sudah masuk ke dewan peperiksaan. '

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital arwah ayahnya berkelakuan pelik apabila amat berselera makan masakan kampung.

Muhammad Haikal Iskandar berkata, dia akan menunaikan hasrat arwah ayahnya supaya 'menggantikannya' untuk menjaga keluarga memandangkan dia anak lelaki sulung dalam keluarga.

"Apa pun terjadi, saya akan lakukan yang terbaik dalam SPM kali ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tatap wajah arwah bapa kali terakhir sebelum sambung SPM [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 12:22 PM