(Dari kanan) Dalili Dahlia bersama rakannya, Nurul Aifaa Yaakub, Raja Nur Fazlin Raja Ibrahim dan Noor Yusrina Arifin yang mendapat PNGK 4.00 dalam STPM yang diumumkan hari ini. FOTO Bernama
(Dari kanan) Dalili Dahlia bersama rakannya, Nurul Aifaa Yaakub, Raja Nur Fazlin Raja Ibrahim dan Noor Yusrina Arifin yang mendapat PNGK 4.00 dalam STPM yang diumumkan hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mematahkan semangat seorang pelajar untuk cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Dalili Dahlia Ibrahim, 20, dari Kampung Kijang dekat Pantai Cahaya Bulan di sini berkata, kekecewaan yang dirasai tiga tahun lalu menjadi pembakar semangat kepadanya untuk berusaha lebih gigih dalam STPM.

"Saya cuma mendapat 2A dalam SPM. Ketika itu saya sedar sikap belajar sambil lewa dan selalu ponteng kelas merupakan penyebab kegagalan saya.

"Kekecewaan itu lebih terasa apabila melihat kawan-kawan lain berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Bermula saat itu saya nekad untuk membaiki kelemahan diri dengan belajar bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini hari ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, mengambil iktibar daripada kekecewaan lalu, dia menanam azam baharu untuk lebih fokus dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran hingga lewat malam.

Dalili Dahlia berkata kejayaannya itu adalah hadiah bermakna buat ibunya Wan Narimah Wan Mustafa, 51, yang banyak berkorban membesarkannya selepas kematian ayahnya ketika dia berusia 12 tahun. Ibunya yang ditamatkan kontrak sebagai pengawal keselamatan terpaksa menjual murtabak di Kampung Kijang untuk memastikan adik-beradiknya dapat meneruskan pelajaran.

"Alhamdulillah kejayaan saya hari ini merupakan berkat doa ibu serta sokongan daripada guru-guru," katanya yang berhasrat menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalili Dahlia adalah antara empat pelajar cemerlang SMK Puteri memperoleh PNGK 4.00, sekali gus menjadikan kan sekolah berkenaan sebagai sekolah terbaik STPM peringkat negeri Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 5:56 PM