Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan sebagai persiapan mengharungi Euro 2024, baru-baru ini. - Reuters
Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan sebagai persiapan mengharungi Euro 2024, baru-baru ini. - Reuters
AFP

Leipzig : Pemain pertahanan Portugal Ruben Dias berkata kehadiran Cristiano Ronaldo membuktikan bahawa mereka boleh merealisasikan apa sahaja ketika pasukan itu bersiap sedia membuat penampilan di Euro 2024 menentang Republik Czech.

Portugal memenangi Euro 2016 dan dipimpin oleh penyerang berusia 39 tahun, Cristiano Ronaldo, yang bersedia untuk bermain di kejohanan Euro yang keenam.

Ronaldo, penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa dengan 130 gol untuk negaranya, juga adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman di kejohanan itu dengan 14 gol, jauh mengatasi bekas pemain hebat Perancis Michel Platini di tempat kedua dengan sembilan gol.

"Saya akan katakan dia adalah sumber inspirasi, Ronaldo mewakili bahawa apa sahaja boleh dicapai, dia mewakili segala yang anda boleh impikan, dan mencapainya," kata pertahanan tengah Manchester City, Dias dalam sidang media.

"Terutama sekali saya ingin katakan ia adalah satu penghormatan untuk mempunyai Ronaldo bersama kami. Lebih daripada semua perkara kecil atau besar, dia bersama kami pada saat ini sekali gus menyatakan bahawa dia mahu menang lagi.

"Dia adalah kapten kami dan tentunya kami mengikutinya hingga akhir."

Jika Ronaldo menjaringkan gol di Euro musim panas ini, dia akan menjadi penjaring gol tertua dalam sejarah kejohanan itu, memecahkan rekod yang dipegang oleh Ivica Vastic dari Austria pada usia 38 tahun di Euro 2008.

Jurulatih Portugal Roberto Martinez berkata pengalaman Ronaldo cukup dalam kejohanan ini, bersama dengan pemain pertahanan veteran Pepe, 41 tahun.

"(Ronaldo) sangat penting... di kejohanan, Euro dan Piala Dunia, kunci kepada gabungan pengalaman dan bakat baharu," kata Martinez.

"Pasukan kami melakukannya dengan sempurna. Anda menyebut Cristiano, dan dia serta Pepe membawa pengalaman yang tiada pada individu pemain lain, mereka adalah dua pemain tertua di kejohanan ini.

tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 2:38 AM