Ketua UMNO Kuala Nerus, Apli Yusoff beramah mesra dengan Nu'aim  dan keluarganya di Program Cakna UMNO Bahagian Kuala Nerus di rumahnya dekat Kampung Gong Kijang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ketua UMNO Kuala Nerus, Apli Yusoff beramah mesra dengan Nu'aim dan keluarganya di Program Cakna UMNO Bahagian Kuala Nerus di rumahnya dekat Kampung Gong Kijang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SAYA terharu apabila ada pihak prihatin dan tampil membantu," kata Nu'aim Hidayah Zaidi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kijang, Kuala Nerus, hari ini.

Anak ketiga daripada enam beradik itu adalah pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga ( PT3) apabila mendapat 10A dan (A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu.

Malah, dia terpilih mengikuti Program Pengajian Asasi Sains Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula 3 Ogos ini.

Nu'aim berkata, dia daripada keluarga kurang berkemampuan dan memerlukan banyak wang untuk menampung perbelanjaan bagi menyambung pengajian di UniSZA.

"Bapa, Zaidi Muda, 53, hanya berkerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu sementara ibu, Meseri Abdul Kadir, 42, suri rumah sepenuh masa.

"Kami sekeluarga buntu memikirkan kos pendaftaran dan pengajian perlu disediakan, maklumlah pinjaman pelajaran belum diterima ketika ini.

"Saya berasa lega apabila terpilih sebagai penerima sumbangan Cakna UMNO Kuala Nerus itu dan ia sedikit-sebanyak membantu menampung kos diperlukan untuk mengikuti pengajian itu," katanya.

Menurutnya, dia akan belajar dengan tekun seterusnya mencapai cita-cita sebagai Pakar Neurologi.

Katanya, dia mengakui kini menjadi harapan keluarga dan tidak mahu menghampakan ayah dan ibu, malah berhasrat mengubah nasib keluarga apabila berjaya nanti.

"Kasihan melihat ayah dan ibu mencari rezeki membesarkan kami adik beradik serta memberi pendidikan secukupnya.

"Saya ingin membalas jasa ayah dan ibu dengan kejayaan dalam pengajian nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Kuala Nerus, Apli Yusoff berkata, pihaknya akan mengenal pasti lebih ramai pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga daif di sekitar Kuala Nerus untuk dibantu.

Katanya, beliau sendiri berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, justeru amat memahami dilema, masalah dan kesempitan dilalui pelajar miskin apabila berjaya menyambung pelajaran ke universiti.

"Bantuan diberikan itu sebagai tambahan kepada bantuan lain akan diberikan kerajaan nanti.

"Kami akan menjadikan pelajar miskin yang cemerlang dalam pelajaran itu sebagai ikon seterusnya menjadi contoh kepada pelajar miskin lain," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah UniSZA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 6:14 PM