TIGA pelajar yang cemerlang semua A dalam SPM 2019 dari SMK Raja Jumaat, dari kiri, Tan Man Yi, Chia Jia Eun, 18, (dua dari kiri) dan Chan Jun Wei, 18, (kanan sekali) menunjukan slip SPM 2019 kepada Pengetuanya Akashah Ismail di dewan SMK Raja Jumaat, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
TIGA pelajar yang cemerlang semua A dalam SPM 2019 dari SMK Raja Jumaat, dari kiri, Tan Man Yi, Chia Jia Eun, 18, (dua dari kiri) dan Chan Jun Wei, 18, (kanan sekali) menunjukan slip SPM 2019 kepada Pengetuanya Akashah Ismail di dewan SMK Raja Jumaat, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


"SAYA tidak meletakkan sasaran untuk dapat semua A tetapi saya cuba buat yang terbaik," kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Port Dickson.

Chia Jia Eun, 18, berkata, dia bukan pelajar yang disasarkan untuk mendapat semua A tetapi amat terperanjat selepas diumumkan antara tiga pelajar yang mendapat 10A dalam semua mata pelajaran.

"Ayah saya hanya pemandu lori dan ibu pula suri rumah, mereka sering menasihati saya untuk terus belajar dan buat yang terbaik. Memang saya terkejut apabila diumumkan antara pelajar terbaik sekolah.

"Bagi saya kejayaan ini bukan milik saya tetapi untuk kedua ibu bapa serta guru sekolah ini yang terbaik, saya hanya ikut arahan dan tunjuk ajar cikgu," kata anak sulung dari dua beradik itu.

Rakannya, Tan Man Yi, 18, pula berkata, kejayaan itu untuk dikongsi dengan ibunya yang menjaganya sejak ayahnya meninggal dunia lima tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya mensasarkan untuk mendapat keputusan sekurang-kurangnya 6A tetapi agak terharu selepas mendapat tahu, saya dapat semua A dalam SPM 2019 ini.

"Ibu saya tidak dapat datang kerana perlu bekerja. Itulah pengorbanan ibu yang menaikkan semangat saya.

"Selain keluarga, kejayaan ini adalah kerana guru di sekolah ini amat komited dan bersungguh-sungguh mengajar, saya tak tahu nak cakap macam mana kerana semua guru di sekolah ini memang terbaik," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Raja Jumaat Akashah Ismail berkata, dia amat berpuas hati selepas sekolahnya diumumkan sekolah terbaik tiga tahun berturut-turut bagi daerah Port Dickson.

"Untuk SPM 2019 kali ini, seramai 33 pelajar mendapat 6A ke atas dari 189 calon SPM tahun lalu dan tiga daripadanya mendapat semua A dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.52 terbaik sejak 30 tahun penubuhan sekolah.

"Tiada rahsia bagi saya tetapi apa yang saya buat ialah percaya dengan guru dan tidak memberi tekanan kepada mereka.

"Bila guru seronok mengajar, yang pasti pelajar juga seronok dan itulah rahsianya. Pencapaian tiga tahun berturut-turut terbaik bagi daerah Port Dickson bagi saya satu pencapaian yang membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:54 PM