Omar Ahmad


Batu Pahat: Keadaan sesak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjadi cabaran buat Nur Anisa Diana Mohd Noordin, 17, untuk memberi tumpuan ketika mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan akhir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), esok.

Nur Anisa Diana mengakui dia tidak dapat memberi fokus sepenuhnya ketika mengulang kaji pelajaran kerana keadaan PPS dipenuhi ramai orang dengan anak-anak kecil yang riuh, namun menganggap ia sebagai 'dugaan'.

Katanya, dia sudah menduduki lapan mata pelajaran bagi peperiksaan SPM tahun ini dan kini membuat persiapan bagi ulang kaji mata pelajaran akhir Matematik Tambahan yang akan berlangsung esok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmod Iskandar.

"Saya akan cuba ulang kaji sehabis mampu untuk menghadapi peperiksaan esok.

"Mujurlah sebelum ini dapat mengulang kaji di rumah untuk lapan mata pelajaran SPM yang lain," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kadir, pagi tadi.

Nur Anisa Diana yang berasal dari Kampung Seri Menanti Laut di sini, berpindah ke PPS bersama keluarganya malam tadi, selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ibunya, Sanipah Tukiman, 56, berharap banjir yang melanda perkampungan mereka pulih.

"Banjir kali ini terjadi selepas hujan, mungkin air yang dari sungai melimpah ke kawasan rendah.

"Anak saya pun tengah hadapi peperiksaan SPM, Isnin ini baru habis. Memandangkan keadaan di PPS yang agak sesak, pasti dia terganggu sedikit, berbeza situasi di rumah yang lebih tenang (untuk belajar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 5:16 PM
NUR Anisa Diana menaiki trak polis ke PPS SK Parit Kadir selepas rumah keluarganya terjejas akibat banjir. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NUR Anisa Diana menaiki trak polis ke PPS SK Parit Kadir selepas rumah keluarganya terjejas akibat banjir. FOTO Nur Aisyah Mazalan