GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor merekodkan peningkatan secara keseluruhan bagi pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Jafri Abu berkata, Gred Purata Nasional (GPN) SPM bagi Selangor ialah 4.67 berbanding 4.80 yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

"Daripada 65,452 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 2,005 calon (3.15 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 1,860 calon (2.94 peratus) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 145 calon (0.21 peratus).

"Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 8,362 calon (13.12 peratus) pada 2023 berbanding 7,860 calon (12.44 peratus) pada 2022, peningkatan sebanyak 502 calon (0.68 peratus)," katanya pada sesi pengumuman analisis keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 21,071 calon (33.06 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 berbanding 20,582 calon (32.57 peratus) pada 2022, peningkatan sebanyak 0.49 peratus.

Beliau berkata, calon yang layak menerima sijil juga meningkat iaitu 58,082 calon (91.14 peratus) berbanding 56,402 calon (89.25 peratus) pada tahun 2022.

"Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan itu bagi tahun 2023 seramai 183 layak mendapat sijil daripada 275 calon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:21 PM