MOHD Hanafi pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Hanafi pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 1,247 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang dengan 20 daripadanya memperoleh A+ bagi kesemua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Hanafi Samad berkata, Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Johor pada 2023 ialah 4.48, meningkat 0.11 mata berbanding 4.59 pada 2022.

Beliau berkata, ia mengatasi pencapaian GPN nasional iaitu 4.60 mata berikutan nilai mata lebih kecil menunjukkan prestasi lebih baik.

Menurutnya, berdasarkan analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2019 hingga 2022, pencapaian ini adalah terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Berdasarkan pencapaian kecemerlangan keseluruhan, seramai 20 calon memperoleh pencapaian Cemerlang semua mata pelajaran (semua A+).

"Manakala seramai 1,247 calon SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 1,129 calon pada 2022.

"Keputusan juga menunjukkan peningkatan peratus calon yang Layak Mendapat Sijil (LMS) iaitu 93.80 peratus berbanding 91.54 peratus pada 2022, berlaku peningkatan sebanyak 2.26 peratus.

"Manakala daripada 133 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) menduduki SPM, lima pelajar menerima keputusan cemerlang iaitu 9A (dua orang), 8A (seorang) dan 7A (dua orang)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 42,221 calon menduduki SPM dengan 38,760 calon layak dapat sijil.

"Peningkatan peratus calon yang layak mendapat sijil (LMS) iaitu 93.8 peratus berbanding 91.54 peratus pada tahun sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:36 AM