KOMPLEKS Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Bernama
KOMPLEKS Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Rakyat Malaysia boleh menggunakan kod QR berbanding pasport untuk pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), bermula 1 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bagi fasa pertama, penggunaan kod QR ini khusus bagi pengguna bas dan penunggang motosikal laluan M-Bike di BSI dan KSAB.

Katanya, fasa pertama bagi percubaan kod QR ini akan berlangsung tiga bulan sebelum ia diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian pada fasa kedua; rakyat Singapura (fasa ketiga) dan selepas itu warganegara lain

Beliau berkata, pengenalan penggunaan kod QR di BSI dan KSAB itu akan menjadi 'game changer' dalam menangani kesesakan di dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura itu.

"Bermula 1 Jun ini, rakyat Malaysia boleh menggunakan kod QR berbanding pasport untuk pelepasan imigresen di CIQ BSI dan KSAB.

"Bagi tempoh percubaan selama tiga bulan ini, kaedah kod QR ini dibuka kepada pengguna bas di BSI ini manakala penunggang motosikal laluan M-Bike di KSAB.

"Pelaksanaan kod QR ini akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas BSI pada waktu puncak daripada 120 minit kepada 15 minit, iaitu 83 peratus penjimatan masa.

"Tempoh menunggu bas KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit, iaitu 74 peratus penjimatan masa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di BSI, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mac lalu, Singapura dilaporkan mengumumkan semua warga asing yang tiba dan keluar dari negara berkenaan dengan menaiki kereta sama menerusi pusat pemeriksaan Tuas atau pun Woodlands boleh menggunakan kod QR berbanding pasport, untuk pelepasan imigresen yang lebih mudah dan pantas.

Malaysia juga dilaporkan menyasarkan langkah yang sama, dan bakal melaksanakan ujian rintis kod QR bagi pelepasan imigresen di pintu masuk sempadan negara di Johor, bermula Jun ini di BSI dan KSAB.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, pengguna motosikal di BSI dapat mengurangkan waktu menunggu daripada 40 minit kepada 30 minit, 19 peratus penjimatan, dengan pelaksanaan kod QR.

Katanya, tempoh menunggu pengguna motosikal di KSAB pula dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit, 23 penjimatan masa, dengan penggunaan kod QR.

"Bagi pelaksanaan kod QR 1 Jun ini, pengguna boleh menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera atau memuat naik aplikasi MyTrip dan MyDigital ID," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, mesyuarat hari ini bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi melancarkan pergerakan bas di BSI dan KSAB, supaya tempoh menunggu dapat disingkatkan.

"Ia amat penting kerana jika pelepasan Imigresen selesai dalam jangka masa cepat, namun pergerakan bas yang tidak lancar menyebabkan kesesakan terus berlaku di dua pintu keluar masuk berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:16 PM