FADILLAH membuat pemeriksaan mengejut ke CIQ BSI, di sini, jam 4.15 pagi tadi. FOTO ihsan FB TPM
FADILLAH membuat pemeriksaan mengejut ke CIQ BSI, di sini, jam 4.15 pagi tadi. FOTO ihsan FB TPM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membuat pemeriksaan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, awal pagi tadi.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kesesakan Di Tambak Johor berkata, tinjauan mengejut itu bagi melihat sendiri gambaran sebenar kesesakan dihadapi pengguna di laluan pintu keluar masuk negara berkenaan.

"Seawal 4.15 pagi hari ini, saya mengadakan tinjauan mengejut ke CIQ BSI bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk membabitkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

"Sejurus tiba di BSI, saya meninjau ruang legar yang menempatkan kedai-kedai dan stesen KTMB sebelum menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke pintu keluar ke Singapura.

"Saya kemudian ke bahagian pasport autogate, imigresen, sistem pengimbas kastam dan bahagian motosikal yang menggunakan sistem mbike, bas.

"Saya turut berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam di BSI dan petugas serta melihat sendiri bahagian laluan bas serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbit," katanya dalam muat naik di akaun Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, hasil tinjauan itu akan dijadikan panduan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor yang dipengerusikannya, pagi ini.

"Terima kasih kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang membantu melancarkan tinjauan mengejut saya pagi ini.

"Terima kasih juga pegawai imigresen dan polis yang turut membantu dan menerangkan proses perjalanan kemasukan pelancong selepas dapat menghidu kehadiran saya di CIQ berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:49 AM