KESESAKAN lalu lintas di pintu keluar laluan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) semalam yang tular di Facebook.
KESESAKAN lalu lintas di pintu keluar laluan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) semalam yang tular di Facebook.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Gelang Patah: Penunggang motosikal ke Singapura dinasihatkan supaya lebih berdisiplin dan mematuhi penggunaan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) yang berkuatkuasa 15 Februari lalu.

Ia bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di dua pintu masuk utama ke Singapura.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, setiap hari hampir 60,000 motosikal akan melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 30,000 motosikal menggunakan laluan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Namun, katanya, antara penunggang motosikal ini dipercayai masih ada yang belum memahami sepenuhnya penggunaan sistem baru M-BIKE sehingga menimbulkan masalah terutamanya kesesakan luar biasa seperti yang berlaku CIQ BSI, semalam.

"Kita mahu penunggang motosikal mendisiplinkan diri dan lebih bersabar, malah jangan cuba mencetuskan provokasi, yang mana sikap begini boleh mengundang masalah seperti kesesakan lalu lintas di dua pintu masuk utama ini.

"Imigresen sudah membuka semua kaunter laluan M-BIKE iaitu 50 kaunter masuk dan keluar di CIQ KSAB, manakala 100 kaunter keluar masuk di CIQ BSI.

"Malah, apabila berlaku kesesakan luar biasa seperti semalam, kita terpaksa mengambil tindakan membuka beberapa kaunter manual selain membuat penyuraian jalan selain meletakkan pegawai dan anggota mengawasi pergerakan trafik masuk ke laluan itu," katanya ketika sidang media selepas membuat tinjauan di CIQ KBAS di sini, hari ini.

Beliau berkata, 36 penunggang motosikal ditahan pihaknya semalam selepas disyaki meloloskan diri daripada kaunter pemeriksaan Imigresen yang mana seorang daripada mereka disyaki melakukan provokasi dengan melanggar pegawai Imigresen bertugas sehingga mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 10:36 AM