KOMPLEKS Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KOMPLEKS Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan memperuntukkan RM168.7 juta bagi melaksana empat inisiatif baharu untuk menangani kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan inisiatif itu pada Fasa 3, merangkumi tiga projek fizikal selain pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk negeri ini.

Beliau berkata, pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun.

"Peruntukan RM168.7 juta itu termasuk untuk membina tambahan 77 laluan M-Bike dengan kos keseluruhan RM61.7 juta, merangkumi 44 laluan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 33 laluan M-Bike di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

"Ia juga membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106.9 juta membabitkan tiga projek Fasa 2 yang diluluskan Mac lalu.

"Pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak, Johor juga akan dilaksanakan dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian.

"Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred bukan sahaja akan diberikan kepada pegawai bertugas di pintu masuk di BSI dan KSAB, malah turut membabitkan pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan KLIA2," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara dalam talian di BSI di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau CIQ, sebelum menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Fadillah secara dalam talian.

Mengulas lanjut mengenai insentif pintu masuk kepada pegawai bertugas, Fadillah berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perkara itu bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selain memperluaskannya kepada pegawai Imigresen di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, jumlah pengembara yang memasuki negara ini di laluan darat Malaysia-Singapura dijangka akan meningkat pada kadar 15 peratus setahun.

Katanya, dianggarkan 157 juta pengembara akan melalui kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri menjelang 2025.

"Ini berdasarkan statistik, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ BSI

dan KSAB yang seramai 71 juta tahun lalu, selepas pintu masuk negara dibuka semula 1 April 2022.

"Namun, sehingga September lalu, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ berkenaan telah mencapai 98 juta dan dijangka akan terus meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun ini, menyamai statistik pada 2019 (pra Covid-19)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:02 PM