GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 9.06 malam tadi.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku jam 8.30 malam tadi membabitkan mangsa yang juga warga tempatan berusia 20 tahun.

"Ketika kejadian, mangsa dipercayai keluar dari tandas di sebuah premis dan menuju ke tempat mangsa bekerja di salah sebuah gerai di lokasi berkenaan.

"Semasa mangsa melangkah besi pembahagi jalan, mangsa terkena renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, kawan mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun cuba membantu tetapi turut terkena renjatan elektrik.

"Seorang lagi rakan mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bertindak menolak kedua-dua lelaki berkenaan dan mereka terjatuh ke dalam longkang.

"Mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Selayang," katanya.

Beliau berkata, seorang rakan mangsa dilaporkan melecur kecil di bahagian jari telunjuk tangan kiri, manakala seorang lagi rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Balai Polis Selayang, Inspektor Mohd Ridzuan Alang di talian 019-4492685.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:13 PM