KERETA Perodua Myvi dinaiki mangsa dan suaminya yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis
KERETA Perodua Myvi dinaiki mangsa dan suaminya yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Wanita warga Indonesia meninggal dunia selepas kereta dinaikinya melanggar belakang treler di Kilometer 36.2 Lebuhraya Karak arah Timur, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Suliami Riski Amalia, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan di lokasi mendapati kejadian itu berlaku ketika sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dari arah Gombak menghala ke Bentong.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa bersama suaminya yang juga warga tempatan berusia 62 tahun tiba-tiba datang dari arah belakang sebelum melanggar bahagian belakang treler terbabit.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

"Suami mangsa yang cedera di bahagian kaki pula dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan itu tiga lorong sehala dengan jalan berselekoh ke kanan dan mendaki bukit," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 9:14 PM