ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di di laluan Bukit Templer ke Selayang, Gombak, yang dikatakan berlaku tanah runtuh seperti yang ditularkan menerusi satu nota suara di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di di laluan Bukit Templer ke Selayang, Gombak, yang dikatakan berlaku tanah runtuh seperti yang ditularkan menerusi satu nota suara di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Tiada kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di laluan Bukit Templer ke Selayang, di sini, seperti yang ditularkan menerusi satu nota suara di media sosial, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang diarahkan ke lokasi berkenaan sebaik menerima makluman berhubung perkara itu.

"Kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian tanah runtuh di lokasi terbabit.

"Malah, anggota bomba yang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan mendapati tiada kejadian tanah runtuh berlaku.

"Hanya terdapat kerja-kerja pembaikan cerun sedang dijalankan di kawasan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Terdahulu, satu rakaman nota suara menyatakan berlaku tanah runtuh di Bukit Templer menghala ke Selayang dengan laluan di lokasi terbabit dikatakan terhalang sepenuhnya tular di media sosial, hari ini.

Rakaman nota suara berdurasi 54 saat oleh seorang lelaki itu mendakwa kejadian berkenaan baru sahaja berlaku dan menyarankan orang ramai yang mahu ke Jalan Kuching supaya menggunakan laluan lain.

Difahamkan laluan dari Rawang ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Rawang adalah lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 9:27 PM