LOKASI bot panjang dipercayai karam semasa membawa lima orang pekerja sebuah syarikat untuk bersiar-siar di sekitar Jeram Menjawah. FOTO Ihsan JBPM
LOKASI bot panjang dipercayai karam semasa membawa lima orang pekerja sebuah syarikat untuk bersiar-siar di sekitar Jeram Menjawah. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

Sibu: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini belum menemukan dua mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di Long Menjawah, Belaga petang semalam.

Bagaimanapun operasi SAR yang dimulakan pada 7.55 pagi hari ini membabitkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela menemukan selipar sebelah kanan milik seorang daripada mangsa terbabit.

Selipar itu ditemukan terapung di kaki Jeram Menjawah pada 12 tengah hari.

"Komander operasi memaklumkan selipar yang ditemukan terapung itu milik seorang daripada mangsa manakala selipar sebelah kiri masih berada dalam bot yang karam itu," menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGO) hari ini.

Mangsa yang hilang Balavishnu Permaloo, 36, dan Rhuban Apparoo, 30, kedua-duanya berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kedah, hilang selepas bot yang mereka naiki bersama dua lagi rakan sekerja serta jurumudi karam kira-kira 4 petang semalam.

Sebelum kejadian pekerja syarikat penyelenggaraan empangan Bakun itu menyewa sebuah bot untuk bersiar-siar namun bot terbabit karam disebabkan arus deras di Jeram Menjawah.

Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang namun dua lagi hanyut dibawa arus deras.

Operasi SAR hari ini turut tertangguh beberapa kali ekoran hujan lebat bermula 1.30 petang dan arus sungai deras di kawasan pencarian.

Menurut kenyataan itu, operasi disambung semula pada 3 petang setelah hujan reda namun terpaksa ditangguh sekali lagi pada 4.30 petang atas faktor cuaca.

SAR akan disambung semula 8.30 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 9:08 PM