KEMATIAN Eddy Malmsteen dan kakaknya, Wan Zunira dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air. FOTO Ihsan bomba
KEMATIAN Eddy Malmsteen dan kakaknya, Wan Zunira dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air. FOTO Ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin

INSIDEN meragut nyawa pemain gitar profesional, Wan Radzie Wan Othman, 30, yang dikenali sebagai Eddy Malmsteen dan kakaknya, Wan Zunira, 32, semalam, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 malam.

"Berdasarkan maklumat awal, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan terbaring di sebuah rumah di Batu 11 Jalan Lama Gombak, manakala kanak-kanak lelaki pula ditemui dalam keadaan lemah.

"Pihak ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian lelaki dan wanita terbabit yang juga suri rumah dipercayai akibat terkena renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mangsa wanita itu sedang memandikan anaknya sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

"Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan mangsa meminta tolong lalu bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata, renjatan elektrik dalam kejadian itu dipercayai daripada alat pemanas.

"Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Ahmad Syauqi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 12.01 tengah malam tadi.

"Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat tiga mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 30-an serta kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terkena renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Pemain gitar profesional, Eddy Wan Othman meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 5:20 PM