GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir Hospital Selayang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.07 petang.

"Kami menerima maklumat daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu yang menemui satu mayat lelaki berusia 43 tahun dalam sebuah kereta Proton Saga di lokasi kejadian.

"Siasatan awal dilakukan dengan waris lelaki terbabit memaklumkan bahawa dia keluar dari rumah pada 10 pagi Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan tidak pulang ke rumah.

"Ahli keluarga mangsa dimaklumkan mengenai perkara itu apabila rakan lelaki berkenaan menemuinya di dalam kereta di kawasan parkir terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, ahli keluarga mangsa juga memaklumkan lelaki berkenaan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik serta masih dalam rawatan susulan di Hospital Selayang sejak enam tahun lalu.

"Pihak bomba membantu membuka pintu kenderaan yang berkunci dari dalam bagi mengeluarkan mayat mangsa.

"Barang peribadi mangsa seperti dompet dan telefon bimbit masih berada dalam poket seluarnya.

"Semakan dilakukan terhadap kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama mangsa," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Shanonrizal Shamsudin di talian 03-61262222/012-6900127 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 10:50 PM