GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Seorang lelaki maut manakala anaknya yang membonceng cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori di Jalan Sungai Tua, Selayang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.11 petang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori, 52, terdengar dentuman di belakang ketika memandu dari arah Sungai Tua.

"Pemandu lori memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa dan mendapati sebuah motosikal berada di bawah lori," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas gambar di lokasi kejadian dimuat naik di media sosial.

Noor Ariffin berkata, mangsa, 39, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Katanya, kanak-kanak perempuan, 8, yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 0196751727.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0361262222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:29 PM