Presiden Persatuan Bola Sepak Ukraine (UAF) dan juga bekas pemain kebangsaan Andriy Shevchenko menunjukkan kerusi di stadium Kharkiv yang musnah selepas dibedil Rusia dua tahun lalu. - Reuters
Presiden Persatuan Bola Sepak Ukraine (UAF) dan juga bekas pemain kebangsaan Andriy Shevchenko menunjukkan kerusi di stadium Kharkiv yang musnah selepas dibedil Rusia dua tahun lalu. - Reuters
Reuters

Munich: Bekas penyerang Ukraine Andriy Shevchenko, menunjukkan kepada umum kerusi di stadium Kharkiv yang hancur akibat serangan peluru sambil penyokong Ukraine bersorak dan berjanji untuk terus berjuang melawan pencerobohan Rusia.

Persatuan Bola Sepak Ukraine berkata stadium Sonyachny di Kharkiv, di timur Ukraine musnah berpunca serangan peluru Rusia pada 2022.

Di dataran tengah Munich, pelarian Ukraine dan penyokong yang memandu selama 25 jam dari negara itu melihat kerusi biru dan kuning terbabit, beberapa jam sebelum pasukan mereka dijadualkan beraksi perlawanan pertama Euro 2024 mereka menentang Romania di bandar itu.

"Semasa saya menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, kami sering datang ke Kharkiv untuk latihan. Kami bersedia untuk kelayakan Euro 2021 di Sonyachny. Mendengar bahawa stadium itu musnah terasa seperti mengetahui rumah anda telah hancur," kata Shevchenko yang kini presiden Persatuan Bola Sepak Ukraine (UAF).

"Walaupun padang bola atau tempat duduk tidak dapat menahan serangan peluru Rusia, kami tidak akan pernah berhenti berdiri untuk negara kami dan memberitahu dunia mengenai perang yang kejam ini," tambah Shevchenko.

Kyiv ingin membawa peringatan yang jelas kepada Euro 2024 bahawa pasukan Ukraine terbabit dalam pertempuran paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, dan kehidupan orang awam di negara itu jelas terjejas.

Lebih daripada 500 kemudahan sukan telah dimusnahkan, termasuk 77 stadium bola sepak.

Perlawanan pertama Ukraine akan menjadi sangat emosional bagi pasukan, pelarian Ukraine dan mereka yang menonton di kediaman masing-masing.

Jurulatih Serhiy Rebrov berkata dia dan pemain-pemainnya berhubung dengan askar di barisan hadapan untuk memberitahu bahawa mereka akan menunjukkan "semangat Ukraine" di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 8:59 PM