Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya bersama empat lagi penumpang terlibat kemalangan di Jalan Genting Highland-Genting Sempah pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya bersama empat lagi penumpang terlibat kemalangan di Jalan Genting Highland-Genting Sempah pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Hilang kawalan di selekoh ketika menuruni bukit dipercayai punca Proton Saga dinaiki lima sekawan terbabas di Kilometer (KM) 25.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dari arah Genting Highland, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan bersama empat penumpang berusia lingkungan 17 hingga 22 tahun.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian kenderaan dipandu lelaki berusia 22 tahun itu hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh dan menuruni bukit lalu terbabas.

"Akibat kemalangan itu seorang penumpang di bahagian belakang berusia 22 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang maut manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan berhubung kemalangan itu jam 4.40 pagi dan mengerahkan jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Selayang ke lokasi kejadian.

Mengulas lanjut Noor Ariffin berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik,

Inspektor Mohd NorazlanNoorudin di talian 019-7974466.

"Orang ramai juga boleh menghubungi atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 1:37 PM