CROATIA tewas perlawanan pembukaan kepada Sepanyol dalam aksi pembukaan Kumpulan B Euro 2024. -FOTO AFP
CROATIA tewas perlawanan pembukaan kepada Sepanyol dalam aksi pembukaan Kumpulan B Euro 2024. -FOTO AFP
AFP

Hamburg, Jerman: Dihukum dengan kekalahan kepada pasukan yang lebih baik dalam aksi pembukaan kumpulan B, Croatia dan Albania kedua-duanya memerlukan kemenangan menjelang pertembungan mereka Rabu ini untuk menyemarakkan kempen Euro 2024 dan kembali menghidupkan peluang melangkah lebih jauh.

Croatia mempunyai sejarah Piala Dunia yang baik tetapi tidak pernah mengulanginya di Euro dan kempen mereka bermula dengan kekecewaan apabila tewas 0-3 kepada Sepanyol.

Manakala Albania tampil buat kali kedua di kejohanan utama, beraksi dengan cemerlang menentang juara bertahan Itali dalam perlawanan pembukaan apabila mendahului sebelum tunduk 1-2.

Kedua-dua pasukan amat memerlukan mata dalam perlawanan kedua mereka di Volksparkstadion Hamburg, sama ada untuk bersaing menduduki dua tempat teratas kumpulan sekali gus meningkatkan peluang mereka menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga yang akan mara ke kalah mati.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menuntut permainan lebih agresif dan kepantasan daripada pemain tengah veteran Luka Modric, 38, pada kejohanan besar terakhirnya dan juga kepada pemain pertahanan, Josko Gvardiol, 22.

"Kami tahu apa yang kami hadapi. Kami menempuh dua perlawanan yang sukar. Ia belum berakhir, teruskan usaha anda.

"Matlamat kami adalah untuk mara ke peringkat seterusnya dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapainya," kata Dalic mengenai perlawanan yang disifatkan sebagai 'do-or-die'.

"Semuanya masih dalam tangan kami, masih di bawah kawalan kami. Kami perlu menjadi lebih baik... Terpulang kepada saya untuk mengubah keadaan, menunjukkan kelemahan dan tidak terlalu memikirkan perlawanan berdepan Sepanyol nanti."

Walaupun dianggap sebagai pasukan kerdil, Albania mendahului kumpulan kelayakan mereka mengatasi pasukan seperti Republik Czech dan Poland dan mereka tidak hadir dalam kejohanan ini untuk sekadar mengisi tempat.

Jurulatih Brazil mereka Sylvinho akan cuba memastikan pasukannya berdisiplin sebelum berdepan Croatia, seperti yang mereka lakukan ketika menentang Itali menerusi gol selepas 23 saat beraksi dan hampir mengulanginya sekali lagi pada penghujung perlawanan namun gagal menyamakan kedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 8:52 PM