Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah mengesahkan sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling hari ini, atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu, disyaki menjalankan penerokaan unsur nadir bumi (REE).

Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kumpulan yang melakukan kegiatan penerokaan REE di Kompartmen 35 hutan simpan itu, dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana entiti korporat setakat ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menjalankan kegiatan penerokaan REE di kawasan itu, sejak empat bulan lalu, dan aktiviti mereka masih di peringkat awal.

"Aktiviti penerokaan REE berkenaan dijalankan berdasarkan kapasiti individu yang menjadi dalang kumpulan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Fisol berkata, kesemua suspek gagal mengemukakan permit yang diperlukan untuk melakukan kegiatan penerokaan REE dan tidak mempunyai permit kebenaran memasuki hutan simpan.

Katanya, individu asing di dalam kumpulan itu didapati memiliki permit sah untuk bekerja dalam perkhidmatan lain di negara ini, tetapi menyalahgunakannya untuk penerokaan REE.

"Polis turut merampas sampel tanah yang disyaki diperoleh dari kegiatan penerokaan di hutan simpan berkenaan untuk pengesanan bahan REE," katanya.

Fisol turut memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti perlombongan haram REE di negeri ini.

Hari ini, media melaporkan seramai sembilan individu termasuk lima warga asing didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Baling atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu.

Mengikut pertuduhan, Tho Wei Loon, 45, Chen Wei Ming, 45, Zarhabi Shaari dan Abdul Halim Nawang, kedua-duanya 61, didakwa memasuki Petak 35 hutan simpan tanpa permit kira-kira 4.12 petang pada 14 September lalu.

Lima lagi adalah seorang Cina dan empat warga Indonesia. Mereka ialah Li Juemin, 49; Aswadi, 43; Dedy Junaidi, 40; Muhamad Zaenuri, 31; dan Nasron, 51.

FISOL menunjukkan sembilan individu yang ditahan kerana disyaki terbabit menjalankan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL menunjukkan sembilan individu yang ditahan kerana disyaki terbabit menjalankan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:19 PM