FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengeluarkan 16 notis kepada syarikat perniagaan yang berdaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 2.0 yang bermula pada 10 Jun lalu.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Perkhidmatan (NPMB) dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 56 syarikat perniagaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Dalam tempoh pelaksanaan Ops Kesan 2.0 ini, KPDN Pahang menerima sebanyak empat aduan berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Kesemua aduan disiasat di mana pihak syarikat atau perniagaan diberikan notis untuk mengemukakan maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDN Pahang juga menggerakkan 166 Pegawai Penguat Kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan pengguna di seluruh negeri ini menjelang sambutan Aidiladha.

Beliau berkata, sebanyak 3,448 premis diperiksa sepanjang Jun meliputi pemborong, peruncit, pasar basah, pasar tani dan pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Dari pemeriksaan itu, sebanyak 33 kes dihasilkan di bawah akta yang dikuatkuasakan KPDN. Pihak KPDN Pahang mengalu-alukan pengguna untuk bersama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang kesalahan dan aktiviti mencurigakan peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:28 PM